Selepas enam tahun menyepi, produser, penyanyi, penulis lirik, komposer Yasin Sulaiman yang sinonim dengan irama "World Music" telah kembali dengan album baru berjudul 'Arus Qudus'.
Album ini mengandungi sembilan buah lagu di antaranya yang menarik
Arus Qudus,
Kau Yang Mengetahui,
Hidup Memang Susah, Mimpi Kedamaian dan Hampir Padamu. Album kali ini membawa sedikit kelainan berbanding beberapa siri albumnya yang lebih fokus kepada elemen padang pasir.
Jika penyanyi lain lebih suka memudahkan kerja mereka dengan menerbitkan sebuah album penuh sekaligus, berlainan pula dengan Yasin yang terlebih dahulu menginginkan album mini yang memuatkan beberapa buah lagu sahaja untuk menarik perhatian pendengar.
Kata Yasin, beliau lebih selesa untuk menerbitkan album single pertamanya dahulu dan kemudian beliau akan menerbitkan dua buah album mini secara berperingkat-peringkat.
"Saya akan menerbitkan single pertama, bertajuk 'Kuala Lumpur' dalam bulan ini. Selepas itu saya akan menerbitkan album 'mini' pertama yang memuatkan 9 buah lagu berkonsep urban dan rock dan album juga berbentuk 'mini' yang mengandungi 9 buah lagu bercorak World Music dan 'cover version'.
"Saya sengaja membahagikan album tersebut untuk menghasilkan kesinambungan selain memberikan hiburan berterusan kepada para peminat yang mengharapkan kehadiran saya sepanjang masa agar peminat senantiasa mengingati saya.
"Selepas itu, barulah album penuh bergenre muzik global bertajuk 'Arus Qudus' yang merangkumi lagu-lagu dalam dua mini album akan dikeluarkan sekali gus. Ia terpulang samada peminat nak tunggu album yang memuatkan keseluruhan lagu saya atau tidak.
"Diikutkan album Arus Qudus sudahpun siap dalam 80 peratus cuma tinggal adunan akhir dan perlu 'touch up' dalam dua minggu lagi.
"Ada juga artis seperti Awie yang berduet dengan saya tapi beliau belum mempunyai kesempatan untuk merakamkan lagu Arus Qudus.
"Arus Qudus" merupakan album ketiga saya yang menghimpunkan empat genre muzik yang berlainan iaitu rock, balada, urban dan etnik atau 'world music'," kata Yasin ketika majlis sesi pra-dengar lapan buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album Arus Qudus.
Antaranya adalah lagu duet bersama Awie "Arus Qudus", gandingan Yasin bersama Sham (Dubai), Mohram, Akbar, Alia, Salleh, Sal (Dubai) "Kuala Lumpur", "Kau Yang Mengetahui", "Hidup Memang Payah", "Hampir PadaMu", "Mimpi Kedamaian", "Di Atas Cahaya" dan duet bersama Joe Flizzow "Salam".
Bercerita tentang pembikinan album tersebut, Yasin mula membikin lagu Salam pada tahun 2003.
"Agak lambat juga sebab saya membuat lagu untuk artis lain dahulu dan betul-betul fokus kepada album saya sendiri pada November tahun lepas," ujar Yasin yang menggunakan studio sendiri untuk membuat album tersebut berbanding menyewa studio ketika membikin album sebelum ini.
Melihat kepada tajuknya, Yasin mempunyai sebab untuk memilih tajuk Arus Qudus.
"Dalam hidup ini mempunyai arus perdana. Arus Qudus menceritakan tentang perjuangan yang menentang arus.
"Perjuangan hidup dan budaya yang qudus menentang arus. Contohnya kita ingin menyelamatkan industri ini tetapi tidak boleh selamatkan kesemuanya melainkan budaya kita sendiri kerana ada cabarannya dalam meredah arus perdana," beritahu Yasin.
Walaubagaimanapun, tema utama yang diserap melalui lagu-lagu baru ini membawa tema inspirasi melalui bait-bait lirik nukilan Yasin keseluruhannya.
"Lagu-lagu dalam album saya berkisar tentang topik inspirasi dan kebangkitan semula. Ia boleh membangkitkan semangat seseorang itu untuk berjaya.
"Album ini saya hasilkan untuk pasaran Malaysia, bukannya untuk pasaran luar kerana album ini mengikut citarasa Malaysia.
Sebagai contoh, lagu single Arus Qudus dibawa dalam genre rock bersama penyanyi rock Awie.
Lagu single pertama Kuala Lumpur pula membawa genre urban yang diselitkan unsur-unsur ketimuran rakyat Malaysia melalui tiupan seruling Mohar (Mohram).
Mungkin ramai yang tidak mengenali Yasin sebagai penyanyi lagu-lagu balada kerana kini beliau tampil dengan beberapa buah lagu balada seperti Kau Yang Mengetahui dan Hidup Memang Payah.
Album ini juga menampilkan pemuzik-pemuzik tanah air seperti Zahid Ahmad (drum), Man Kidal (gitar elektrik), Mohar (seruling), Ramli Rebana (perkusi), Charmaine (biola), Nan (gitar), Rudy (piano), Kelly (bass), Rosdi (perkusi) dan Fauziah (gambus) malahan turut membabitkan tenaga luar dari Dubai.
Selain Awie, album ini turut menyatukan Yasin dengan penyanyi Dali (Ahli Fiqir), Akbar, Alia (Phlowtron), Salleh (Brothers) dan Arnieza.
Tidak ketinggalan seorang 'rapper' terkenal dari Dubai iaitu Sham yang pernah tampil melalui lagu Penantian nyanyian Bienda.
Yasin akui berpuas hati dengan penerbitan album kali ini kerana hampir 90 peratus lagu yang terkandung di dalamnya adalah hasil nukilan mengikut citarasa dan inspirasi peribadi beliau sendiri.
Manakala kira-kira 80 peratus lagu dicipta oleh penyanyi berbakat besar ini, yang juga suami kepada Sharifah Eena Hozyama dan ayah kepada Sameer Muhammad Yasin ini.
Antara lagu yang mendapat sentuhan sepenuhnya oleh Yasin adalah Arus Qudus, Kau Yang Mengetahui, Hidup Memang Payah, Hampir PadaMu dan Di Atas Cahaya.
Selain itu, Yasin juga menggunakan khidmat komposer terkenal Farihin Abdul Fatah dan seorang produser yang sedang meningkat naik di Dubai, Salim Rashaad atau Sal.
Sal merupakan seorang yang berbakat besar dalam penerbitan album di Dubai di bawah syarikat rakaman SAL Productions.
Beliau yang aktif menerbitkan lagu bagi ramai artis antarabangsa telah hadir di Kuala Lumpur selama dua minggu untuk bersama-sama menjayakan penerbitan lagu Kuala Lumpur, Mimpi Kedamaian dan Salam bersama Yasin.
Lagu Salam turut turut mendapat sentuhan Joe Flizzow dan Sham (Dubai).
Sal juga telah bekerjasama dengan Yasin dalam album Raja Azura untuk lagu Bahaya.
Menurut Yasin, apa yang menarik beliau untuk bekerjasama dengan komposer dari Dubai itu adalah dari segi penghasilan lagu kategori urban.
"Bagus sangat kalau beat urban sebab itu saya ajak beliau sertai dalam penghasilan lagu dan lirik bercorak urban.
"Produksi dari Dubai ini berbeza dengan produksi di Indonesia di mana lagu tidak dibuat di sana sebaliknya mereka yang datang ke sini dan kita tidak akan serahkan kepada mereka untuk membuat keseluruhannya.
"Tapi dalam masa yang sama saya turut menggunakan bakat-bakat pemuzik tempatan seperti Mohram, Zahid Ahmad, Man Kidal, dan gitaris M.Nasir, Nan.
"Mereka hebat cuma produser yang tak reti nak menggunakan khidmat mereka.
"Tiada halangan dan semuanya bebas untuk membuat dengan cara yang bagaimana.
Lebih menarik, album Arus Qudus turut memuatkan dokumentari disebalik tabir tentang keseluruhan proses pembikinan album tersebut.
Akhiri Yasin, "Sangat berharap muzik tempatan dapat menghasilkan album yang baik di mana kita mempunyai pemuzik yang boleh membuat lagu bersama-sama dan tersohor seperti M.Nasir.
"Orang kita mampu buat album yang 'dashyat'. Saya harap album ini boleh didengar oleh semua orang meliputi setiap lapisan masyarakat!."
Segerakan dapatkannya di pasaran.